Pengganti Nik Aziz

Selasa, 2009 Disember 01

Tidak kisah sama ada Nik Aziz terus menjadi Menteri Besar atau tidak, yang menariknya ada pihak tertentu membawa cadangan supaya Menteri Besar itu melantik pengganti, boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

Pertama, cadangan itu menampakkan kebimbangan kalau sekiranya tiba-tiba MB letak jawatan tanpa pengganti. Kalau nak ikutkan apa perlu dibimbangkan? Masalah pengganti tidak timbul sama sekali kerana ramai yang layak. Tetapi berbagai pihak yang mencadangkan itu menunjukkan rasa bimbang dan cemas.

Nama Nik Aziz terlalu besar bagi Pas. Dari segi liputan berita, nama beliau lebih popular dari Presiden sejak arwah Fadhil Noor sehingga Haji Hadi kerana beliau memerintah negeri Kelantan selama 19 tahun, sedangkan Fadhil hanya Ahli Parlimen. Begitu juga Haji Hadi hanya memerintah sepenggal tapi ‘fail’. Selaku MB, banyak soalan yang boleh ditanya. Sebab itu kehilangan Nik Aziz, jika berlaku menjadi malapetaka kepada kerajaan negeri. Dan itu yang dibimbangi oleh ahli dan penyokong serta pemimpin parti.

Kedua, perlantikan pengganti adalah bagi mengelakkan perebutan kerusi yang boleh melemahkan kerajaan negeri. Pas negeri dan Pusat sudah menyedari perkara ini yang sekiranya tidak terbendung akan menjatuhkan imej di depan rakyat. Pas sebuah parti yang mahu dilihat berlandaskan agama sangat menjaga kelemahan ini terbongkar kepada rakyat atau sekurang-kurangnya dapat dimengertikan sebagai parti yang haprak. Jadi, isu perebutan sehingga menjadi perang terbuka patut dijauhkan oleh Pas. Perang saraf yang tidak memerlukan medan pertempuran dan hanya memerlukan senjata maklumat hakikatnya sudah bermula.

Ketiga, nampak ketidak-yakinan pada diri sendiri untuk menyelesaikan masalah pengganti sekiranya Nik Aziz meninggalkan jawatan tanpa pengganti. Pas negeri mempunyai kerajaan dan pengalaman memerintah 19 tahun sepatutnya tidak menggelabah apabila berdepan dengan riak-riak kecil digigi air. Inilah hakikat Pas sebenarnya.

Keempat, Pas Kelantan tidak keseorangan. Pas Pusat tidak akan membiarkan kerajaan negeri terkontang-kantin seorang diri menyelesaikan masalah mereka kerana ini perjuangan bersama. Sebab itu mereka tidak patut bergelabah.

Sebenarnya, yang membimbangkan sangat kerajaan Pas negeri itu berikutan timbulnya isu yang tidak diduga seperti isu ‘tajaan’, siasatan SPRM, sehingga isu pengalihan menantu dari PMBK berikutan dinasihatkan berbuat demikian. Keadaan ini boleh digambarkan kerajaan Pas Kelantan sebagai sebuah perahu yang sedang bocor, dimasuki air dari segenap penjuru sehingga membimbangkan awak-awak.

Akhir sekali, kenapa dalam saat begini Pas tidak ikut Sunnah? Rasulullah tidak lantik sesiapa sebagai pengganti baginda. Begitu juga empat orang Khulafa’ Rasyidin juga tidak melantik pengganti. Kalau berdasarkan gaya Nik Aziz yang sentiasa beralaskan Sunnah dalam kenyataannya apabila melakukan sesuatu, saya percaya Nik Aziz tidak akan melantik penganti sekiranya beliau mahu melepaskan jawatan MB.

Bos

Khamis, 2009 November 26

Dalam media resmi Pas, Nik Aziz ingin menasihatkan menantunya melepaskan jawatan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Pada 23 November 2009, menantunya itu telah mengumumkan perletakan jawatan tersebut. Persetujuan itu diumumkan oleh Nik Aziz selepas pertemuan dengan pemimpin atasan di Kota Baharu pagi 23 November 2009.

Nik Aziz sepatutnya tidak nanti tunggu orang nasihat supaya buat begitu dan begini baru nak bertindak. Kita sendiri yang punya kuasa dan kita sendiri yang lebih tua dan boleh buat pertimbangan, samada patut atau tidak sesuatu perkara itu. Begitu juga kita jangan harap anak buah bagi komen terhadap cadangan kita nak lantik menantu dalam PBMK, khasnya yang berkait dengan keluarga atau bersabit batang tubuh kita sendiri.

Anak buah tentu takut hendak komen, nanti akan terima padahnya. Faham-fahamlah. Sama juga orang bawah tentu segan hendak komen, lebih-belih lagi berkait dengan anak menantu bos. Sendiri fikirlah. Soal layak tidak timbul, begitu juga soal amanah. Isu yang melilit leher Nik Aziz bukan kerana melantik orang tidak layak atau tidak jujur. Lebih dari itu, isunya sekarang isu nepotism saudara rapat kronism. Orang akan bercakap tidak habis-habis. Orang lain tidak layakkah? Orang lain tidak jujurkah? Orang lain tidak boleh dipercayaikah? Orang lain tidak ada yang lebih seniorkah dan lagi dan lagi.

Kenapa Mahathir tidak lantik anak dia dalam mana-mana pos politik dan sebagainya? Selama 23 tahun dia berkuasa, walau Nik Aziz kata Mahathir tidak tahu bahasa Arab.

Begitu juga yang berkait dengan batang tubuh Nik Aziz, tiada siapa yang akan suruh letak jawatan dan kita yang tua jangan nanti orang suruh letak baru kita kata orang sudah tidak suka. Jangan ingat orang suka kepada kita selagi tidak ada yang suruh kita letak jawatan. Jangan ingat orang tidak suruh bermakna orang suka kepimpinan kita. Kalau kita kata, kepimpinan kita diperlukan lagi kerana tiada siapa yang suruh letak jawatan, itu tidak betul. Kita sebagai orang tua tentu faham atau buat-buat tidak faham, tak taulah. Ini semua kemahiran berbahasa ‘body language’. Kita sebagai orang tua sepatutnya tahu gerak hati orang suka atau tidak pada kita. Jangan nanti orang tolak baru kita faham orang tak suka.

Satu lagi apabila menjadi orang besar ada kuasa, jangan mudah pecat orang atau hukum orang bawah walaupun dia salah. Dengan kata lain, jangan terus bagi K.O kerana sebagai manusia yang ada keluarga mereka mungkin akan bertindak balas. Kita boleh baca sepanjang mana senarai yang anak buah kita buat salah tetapi adat orang berperang dia akan cari jalan bagaimana hendak jatuhkan lawan. Di sinilah duduknya perbezaan bos berpengalaman dengan bos kurang pengalaman.
Baru pertama kali Mursyidul Am dinasihatkan oleh pemimpin atasan, selalunya nakhoda menasihatkan awak-awak. Satu pengajaran, yang berkait dengan politik jangan harus diheret bersama keluarga walaupun dengan berbagai jastifikasi. Orang tidak akan terima walaupun orang dengar dan angguk, kecualilah syarikat mak bapak kita. Memandangkan banyak fitnah, surat layang baru Nik Aziz sedar. Semasa perlantikan dia tidak fikir semua ini. Yang dia fikir menantunya layak dan amanah. Kita tidak nafikan semua itu. Kita juga kesian kepada menantunya kerana perlantikannya menimbulkan kontroversi. Soal disiasat SPRM itu perkara biasa. Ada orang repot, dia kena siasat. Kita yang tidak buat perkara pelik-pelik tak perlu takut.

Sistem 2 Parti

Ahad, 2009 November 22

Saya pernah terbaca sebuah buku terjemahan Ahmad Boestamam, tokoh politik kiri yang namanya saya lupa kira-kira 30 tahun lalu. Dalam buku itu ada menyebut, "apabila politik sesebuah negara sudah matang, bilangan parti-parti politik yang banyak akan menjadi semakin kurang dan menguncup". Contohnya seperti di Amerika, Britain, Perancis, German yang tergulung dalam negara maju. Langkah badan tertentu mengadakan seminar Sistem 2 Parti 2 hari lalu adalah satu aktiviti akademik yang boleh mencetuskan minda khalayak untuk berfikir sejauh mana perlu-tidaknya sistem tersebut buat masa ini di Malaysia.

Hakikatnya isu politik hari ini bukan soal sistem 2 parti tetapi isu perlawanan antara BN yang mempunyai 14 parti dengan Pakatan Rakyat yang cuma tiga parti dalam proses peralihan kuasa. Pakatan Rakyat yang mendapat inspirasi dari kemenangan dalam PRU 12 begitu bersemangat mahu menguasai Parlimen, sedang BN bagi pihak yang bertahan.

Buat masa ini parti politik di Malaysia adalah parti yang berasaskan perkauman, atas dasar masing-masing mahu menjaga kepentingan kaum sendiri kerana mereka mempunyai sejarah yang berbeza. Kaum Cina dalam sejarahnya sebagai pendatang, sejak awal abad 20 lagi telah merasa bimbang akan kepentingan mereka tercabar sebagaimana terbukti dalam ucapan-ucapan Tun Tan Cheng Lock dalam persidangan dengan pihak British ketika itu. Bagi orang Melayu sebagai satu bangsa yang menjadi penduduk asal di Tanah Melayu lebih bimbang lagi akan hak-hak mereka terhapus dan kesedaran ini dikongsi oleh penjajah yang turut menjaga kepentingan tersebut melalui undang-undang yang kemudian dipindahkan kedalam Perlembagaan Negara apabila Tanah Melayu merdeka.

Latar belakang kewarganegaraan ini berbeza dengan Amerika yang sama-sama pendatang. Amerika mempunyai beratus keturunan dari serata dunia tetapi mempunyai semangat satu bangsa, warga Amerika. Di Malaysia, apakah orang lain mahu menjaga kepentingan kaum lain kalau tidak kaum itu sendiri menjaganya, itulah persoalan yang ada dalam minda setiap kaum di negara ini. Ini satu hakikat yang tiada siapa menafikannya.

Daripada memikirkan sistem 2 parti adalah lebih baik memikirkan, bolehkah penyatuan satu kaum dalam satu parti?. Hari ini setiap kaum mempunyai beberapa parti. Kalau setiap parti mewakili satu kaum sudah cukup baik bagi mengelakkan dari kecelaruan dan merugikan rakyat, kerana asas perjuangan adalah sama iaitu untuk membela nasib kaum dalam sebuah negara. Hari ini aktiviti yang dilakukan oleh beberapa parti dalam setiap kaum adalah double standard. Bayangkan kalau tenaga 2 pemimpin parti Pas dan Umno, MCA dan gerakan, MIC dan PPP disatukan sudah tentu parti menjadi kuat, rakyat mendapat faedah. Malaysia tidak perlu ramai pemimpin kerana negara tidak besar mana. Banyak parti, rakyat jadi keliru, pemimpin parti jadi celaru.

Perpecahan dalam parti Melayu, berbanding dengan perpecahan dalam parti Cina dan India, lebih teruk kesannya kepada orang Melayu kerana mereka mewakili 60% penduduk negara yang lebih banyak memerlukan bimbingan, berbanding dengan orang Cina yang tidak sampai 30% dan rakyatnya menjalankan aktiviti ekonomi berasaskan perniagaan di bandar, begitu juga penduduk India 8%, lebih senang dibantu. Sebab itu saya mengatakan apa sahaja perpecahan dan keburukan, maka orang Melayu lebih banyak mengalami kesusahan dan keburukan.

Rasuah, kronism, salah guna kuasa sama sahaja siapa yang berkuasa. Hari ini penyokong Pakatan Rakyat menuduh BN salah guna kuasa dan rasuah. Adakah Pakatan Rakyat dapat memberi jaminan kalau mereka berkuasa tidak berlaku salah guna kuasa dan rasuah. Lhat apa yang berlaku sebulan dua ini, baru berkuasa setahun lebih sudah ada cerita macam-macam. Sebab itu slogan rasuah, kronism dan sebagainya sengaja dimomok-momokkan, di laung-laungkan bagi menimbulkan kebencian satu pihak kepada pihak lain. Pita ini dimainkan berbulan bertahun dalam setiap media sehingga berjaya membenci Umno dan menganggap orang Umno rasuah.

Hari ini yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa dan kronism bukan orang politik sahaja tetapi pihak-pihak lain termasuk jentera kerajaan. Kalau jentera kerajaan yang korup, siapa sahaja yang memerintah dan parti mana yang memerintah adalah sama sahaja. Orang politik dating dan pergi setiap 5 tahun sekali. Kerajaan yang tidak cekap boleh ditumbang melalui pilihanraya. Pemimpin yang korup boleh digugurkan oleh parti atau mahkamah.

Jentera kerajaan berkerja sampai pencen. Mereka yang korup boleh dipecat oleh Lembaga tatatertib atau proses mahkamah. Kalau pegawai kerajaan yang korup, kita tidak boleh kata orang politik yang korup atau orang Umno yang salah. Itu satu tudhan yang tidak tepat. Sama juga kalau kakitangan kerajaan negeri Kelantan atau Selangor yang korup, kita tidak boleh salahkan kerajaan negeri yang korup, walaupun tanggung jawab dibawah kerajaan. Perkara ini perlu diperjelaskan supaya kita tidak menuduh sebarangan.

Sejarah pemerintahan negara selama 50 tahun didominasi BN yang ditunjangi orang Melayu (Umno) yang terbukti dapat memerintah untuk semua kaum. Parti Melayu lain seperti Pas, kalau dapat bersatu dalam Umno memberi kekuatan kepada kepada Melayu. Lain-lain kaum tidak perlu bimbang kalau politik negara dikuasai orang Melayu kerana sejarah sudah membuktikannya.

Kepimpinan Melayu terbukti apabila krisis MCA tahun 80-an didamaikan oleh Tun Ghafar Baba. Krisis terkini terpaksa meminta campur tangan Presiden Umno. Kenapa MCA tidak meminta pertolongan dari veteran parti itu?. Ini kerana mereka mempunyai budaya yang berbeza dengan orang Umno. Membuktikan orang Melayu mempunyai kemampuan yang boleh dibuat pemimpin.

Malangnya apabila mempunyai kemampuan demikian, masing-masing berlumba hendak menjatuhkan satu sama lain, macam pemimpin kerajaan Abbasiah di Iraq, kerajaan Fatimiah di Afrika dan kerajaan Umawiah di Sepanyol/Andalus. Orang Melayu mempunyai contoh yang banyak untuk dijadikan pedoman. Tinggal lagi mereka sendiri tidak mahu memasang telinga dan membuka mata seperti kisah orang Yahudi dalam Quran yang tidak mahu menerima petunjuk tuhan. Hari ini kita tidak perlu sibuk pasal sistem 2 parti. Perkara itu akan terjadi dengan sendiri bila tiba masanya. Yang penting sekarang ialah orang Melayu bersatu. Satu hukuman mandatory dan mutlak.

Pas Perlu Kembali

Selasa, 2009 November 17

Dari segi konsepnya memang betul manusia harus belajar dari sejarah tetapi hakikatnya bukan begitu, manusia sebenarnya tidak belajar dari sejarah. Mereka didorong oleh kerakusan nafsu ingin berkuasa. Mereka menggunakan alat agama untuk menghalalkan tindakan mereka dan menentukan supaya tindakan mereka direstui dan mempamerkan bahawa perjuangan mereka adalah Islam. Sebenarnya parti Pas kumpulan yang memunah-ranahkan agama Islam dan bangsa Melayu secara umumnya.

Saya bersetuju dengan Dr.Mahmood Zuhdi (mm 15nov 09) yang mencadangkan Pas kembali kepada perjuangan penubuhan sebuah negara Islam. Barangkali Pas sekarang tidak sabar-sabar lagi mahu memimpin negara sehingga sanggup tidur sekandang dengan DAP yang kencingnya merata-rata. Ideologi Pas dengan DAP jauh panggang dari api; bagaimana Pas dapat berjuang menegakkan negara Islam kalau matlamat mereka berbeza? Sekalipun dapat menubuhkan pakatan secara sah dan ditakdirkan dapat mengambil alih pemerintahan negara, ia akan menjadi seperti BN sekarang. Pi mai pi mai tang tu jugak. Jadi, ke mana pergi matlamat Pas waktu itu?

Apabila berkuasa, ia akan menjadi seperti BN yang dituduh rasuah dan kronism juga kerana kita kena kembali kepada tabiat, bahawa manusia itu tidak jauh beza antara satu golongan dengan golongan yang lain; semuanya sama. Apabila ada kuasa mereka cenderung menyalah-gunakan kuasa. Itu lumrah. Siapa orang Pas yang tiada saudara-mara dan kawan-kawan. Di situ berlakunya kronism dan nepotism. Kalau pakatan pembangkang memerintah tidak berlakukah rasuah? Lihat sehari dua ini, baru memerintah lebih setahun, sudah ada kes rasuah, lebih 5 orang pembangkang sudah dicekup SPRM. Walaupun belum dibukti sekurang-kurangnya sudah ada kes. Ini satu hakikat bahawa manusia sama sahaja.

Apabila Pas berjaya memerintah negara bersama rakan-rakannya, kita dapat lihat di mana Pas dalam barisan kabinet ketika itu. Kita bimbang seperti kata Dr. Mahmood, yang dikendong berciciran. Sekarang pemimpin Pas berada di litar lumba, tidak nampak kiri kanan, selain nak menang, nak berkuasa. Orang ajak berbaik sesama Melayu, sesama Islam tidak diendah, tidak dapat terima dah. "Kita nak berkuasa sekarang", kata gelojak hati mereka. Ibarat orang lama bercinta, tunggul kayu terbakar pun nampak indah.

Pemimpin Pas sekarang dalam sesat pemikiran dan keliru mana satu yang hendak dicapai antara perjuangan dengan kuasa. Monolognya begini, "nak tetap dengan perjuangan Islam", sampai bila tak dapat berkuasa. Nak berkuasa, rasanya sudah dekat, lagi 3 tahun. Tapi kalau berkuasa terpaksa tinggalkan perjuangan Islam selama ini, ke tepikan prinsip asal yang di dakap 60 tahun dulu. Mana satu yang mesti pilih?. Pas sebenarnya memilih ‘mahu berkuasa’, sekalipun Melayu berpecah, walaupun Umno sentiasa menghulurkan tangan perpaduan. Ertinya keputusan Pas adalah satu tindakan jangka pendek, tidak memikirkan masa depan perpaduan bangsa.

Teringat cerita Nabi Nuh A.S yang mahu menyelamatkan anaknya yang tidak beriman. Apabila di panggil bersamanya naik ke kapal anaknya enggan dan tenggelam dalam ombak yang mengganas.

Orang Pas bukan tidak baca sejarah Abbasiah yang hancur kerana perebutan kuasa yang sentiasa berperang sepanjang 400 tahun, yang pernah bertukar khalifah 4 orang dalam masa 9 tahun, yang ada memerintah tidak sampai setahun dan kanak-kanak berusia 4 tahun sudah jadi khalifah dan lagi dan lagi. Begitu juga kerajaan Islam Sepanyol yang gemilang peringkat awalnya menjadi abu akhirnya kerana perebutan kuasa dan akhlak kehaiwanan.

Nama-nama seperti Valencia, Barcalona dan sebagainya pernah berada dalam kekuasaan Islam. Itu dulu, sekarang tiada lagi. Sebab itu Pas perlu kembali kepada perjuangan asal kalau tidak mahu dituduh perosak bangsa yang mendukung agama. Apa guna, kerana kerakusan nafsu yang ingin berkuasa, kelak akan meninggalkan sejarah sebagai parti yang tidak bermaruah dan ulama' pendendam dan gila kuasa. Paepatah Arab ada berkata, "kehilangan harta boleh dicari tetapi hilang maruah tiada ganti".

Perjuangan Talak Tiga

Sabtu, 2009 November 14

Isu lompat parti sudah lama wujud sejak negara baru mencapai kemerdekaan lagi. Kerajaan Pas Terengganu pernah lingkup kerana kes lompat parti. Di Sabah, aktiviti melompat lebih menarik dalam tahun 80-an dan 90-an. Masing-masing parti memikirkan pelbagai cara untuk mengelakkan wakil mereka melompat ke kiri atau ke kanan, tetapi perkara itu menjadi sekejap hangat, sekejap sejuk dan tenggelam timbul bagai balak hanyut.

Kini ia timbul kembali dan lebih istimewa kerana dikaitkan dengan hukum nikah-cerai. Yang mengejutkan kita apabila terbongkar rahsia seorang wakil rakyat Pas disesetengah negeri dikehendaki bersumpah (bai’ah) sebelum bertanding dengan taktik ‘jatuh talak tiga’ jika mereka lompat ke parti lain setelah menang pilihanraya. Ini bagi memastikan wakilnya tidak lompat. Bagi Pas, di sesetengah negeri, dengan mengaitkan soal perkahwinan dengan politik adalah satu kaedah bagi mengikat wakilnya supaya tidak lari. Sudah tentu mereka mengatakan inilah cara Islam, kalau tidak masakan mereka sanggup berbuat demikian iaitu mengaitkan talak tiga dengan jawatan politik.

Sekali nampak memang tidak menjadi kudis gatal, tiada apa-apa, hanya taklik. Bercakap mengenai taklik, bagaimana mudahnya ia dilakukan? Kata seorang muslimat Pas, keluar pintu pun boleh jatuh talak, inikan pula perjuangan Islam. Begitu bersemangat sekali wakil muslimat Pas. Dengan ikatan taklik itu makin bertambah sayang, katanya. Tetapi kenapa perlu dikaitkan dengan politik untuk menambahkan kasih-sayang antara suami isteri?

Tidak cukupkah dengan taklik masa akad nikah dahulu? Kalau diikutkan taklik itu sudah cukup untuk mengikat kasih sayang dan menjadikan suami lebih bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Sebenarnya itu alasan yang sengaja diada-adakan sahaja, kerana tiada kaedah lain yang paling berkesan untuk mengikat wakil Pas jangan lompat parti. Sebab, sekiranya berlaku lompat parti bermakna jatuhlah talak tiga yang mengakibatkan pasangan tidak dapat rujuk kembali. Ini menunjukkan iman mereka kepada parti tidak teguh. Mereka tiada keyakinan dan pemimpin tidak yakin kepada ahli sendiri. Bila ada perasaan tidak yakin kepada calon dan calon sendiri tidak kuat imannya kepada parti, dicarilah berbagai rotan dan akar untuk mengikat calon supaya jangan lari.

Ertinya, isteri boleh hilang bila-bila masa tetapi jawatan Yang Berhormat tidak terjejas. Tetapi kalau lompat parti, anak isteri boleh terjejas dan rumah tangga yang disayangi boleh hancur. Tidakkah ini bermakna kedudukan dalam parti lebih utama dari hubungan keluarga? Itulah sebabnya barangkali isteri menangis, suami menggigil semasa angkat sumpat depan pesuruhjaya Pas negeri seperti diceritakan dalam akhbar.

Dengan kata lain, wakil Pas terpaksa diikat sedemikian rupa bagi mencegah mereka lari daripada parti. Ini menunjukkan mereka tidak yakin dengan parti dan tidak yakin dengan perjuangan mereka sendiri dan tidak yakin dengan apa yang mereka perjuangkan selama ini. Nampaknya perjuangan mereka perjuangan terpaksa, bukan perjuangan dalam parti atas keyakinan sebenar.

Teringat saya perjuangan pahlawan Islam dahulu yang membawa anak isteri kemedan perang untuk menguatkan semangat juang mereka. Tetapi ‘perjuangan Islam’ zaman moden ini mengaitkan talak isteri dengan lompat parti. Dengan ini terbayanglah di wajah-wajah wakil rakyat Pas satu perjuangan tidak ikhlas, perjuangan terikat, perjuangan terpaksa atau dipaksa kerana sudah bertaklik dan boleh dinamakan perjuangan talak tiga. Teringat juga masa kecil-kecil dahulu pergi ke pasar melihat orang menjual ayam kampung, mereka mengikat kaki-kaki ayam pada bakul, menyebabkan ayam tidak dapat lari hanya berlegar keliling bakul. Begitulah wakil Pas tidak dapat lari kemana walaupun mereka hendak lari dari Pas.